PUTRAJAYA – Program Tarif Elektrik Hijau (GET) akan diteruskan pada 2025 dengan penawaran kuota sekurang-kurangnya 6,600 GigaWatt jam (GWj) pada kadar premium yang sama, iaitu 10 sen/kilowatt jam (kWj) untuk pengguna voltan rendah dan 20 sen/kWj bagi pengguna voltan sederhana serta tinggi.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, selain itu, beberapa penambahbaikan turut diperkenalkan mulai tahun 2025 termasuk pembukaan langganan jangka masa panjang.
Katanya, ia bagi membolehkan pengguna membuat langganan GET sehingga tahun 2027.
“Penawaran baharu ini akan memberikan kepastian dalam perancangan langganan bekalan elektrik hijau oleh syarikat korporat dan industri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut PETRA, berikutan sambutan yang menggalakkan dan pengiktirafan antarabangsa, pihaknya bersama Suruhanjaya Tenaga (ST) meneliti semula pengiperasian dan prinsip asas langganan bagi mengekalkan keyakinan pengguna terhadap GET.
“Selaras dengan tuntutan umum komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), kerajaan memutuskan supaya pengguna yang melanggan program tersebut pada tahun depan tidak akan dikenakan caj Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT).
“Langkah itu penting bagi memberikan gambaran sebenar bahawa tenaga elektrik hijau adalah tidak terdedah kepada pergerakan harga bahan api,” katanya.
Langganan boleh dilakukan mulai 1 Mac 2025 melalui portal myTNB dan pengguna boleh melakukan ‘backdate subscription’ untuk tempoh bermula 1 Januari 2025.
Sementara itu, katanya, opsyen baharu tawaran GET secara jangka panjang sehingga tahun 2027 turut disediakan dengan kadar premium yang lebih rendah.
“Bagi tempoh dua dan tiga tahun, pengguna voltan rendah menikmati kadar premium masing-masing 9 sen/kWj dan 8 sen/kWj.
“Manakala bagi pengguna voltan sederhana dan tinggi, kadar premium pula adalah 19 sen/kWj untuk tempoh dua tahun dan 18 sen/kWj bagi tempoh tiga tahun,” jelasnya. – https://amiminerals.org/