KEMAMAN – Seorang lelaki terkejut menemui bangkai tapir seberat 200 kilogram (kg) dipercayai dilanggar kenderaan ketika melalui Jalan Ibuk berhampiran Kampung Paman di sini hari ini.
Muhammad Alif Haziq Ghani, 24, berkata, dia terserempak dengan bangkai haiwan dilindungi itu sewaktu dalam perjalanan ke pusat bandar Chukai di sini pada pukul 9.30 pagi.
“Pada mulanya, saya sangka bangkai kerbau atau lembu, rupa-rupanya tapir, namun saya terkejut kerana saiznya agak besar.
“Saya sedih kerana tapir merupakan haiwan dilindungi yang makin diancam kepupusan,”katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Muhammad Alif Haziq Ghani kemudian memaklumkan penemuan haiwan liar itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong memberitahu, pemeriksaan mendapati bangkai tapir itu cedera pada badan dan kepala.
“Kita percaya tapir ini mungkin tersesat masuk ke kawasan jalan raya dari hutan berhampiran sebelum dirempuh kenderaan. Bangkai haiwan itu diambil untuk ditanam di lokasi sesuai,”katanya. – https://amiminerals.org/.