Tanggungjawab besar penyedia perkhidmatan lindungi hak pengguna

MCMC 1

Pengguna media sosial terdedah dengan pelbagai ancaman termasuk penipuan. – Gambar hiasan

ISU keselamatan semasa meng­akses internet atau platform dalam talian, serta kualiti perkhidmatan yang ditawarkan turut terkait dalam aspek tanggungjawab dan akauntabiliti penyedia perkhidmatan.

Tanggungjawab dan akauntabiliti ini penting untuk melindungi hak pengguna, justeru penyedia perkhidmatan mesti mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Mohamad Sirajuddin Jalil berkata, penyedia perkhidmatan di platform media sosial perlu memainkan tanggungjawab dalam memastikan kese­lamatan pengguna, dan hal ini boleh dilaksanakan dengan pelbagai cara.

“Mereka ini menjana wang menerusi pengiklanan yang menjadi sumber pendapatan. Mereka boleh menggunakan teknologi baharu dan sekarang ini, teknologi AI (kecerdasan buatan) bergerak dengan cepat.

“Penyedia perkhidmatan ini menggunakan algoritma untuk mencerap data pengguna bagi tujuan pemasaran, pengiklanan dan sebagainya. Jadi sepatutnya teknologi AI ini turut digunakan untuk membantu membendung kandungan yang diwartakan sebagai jenayah.

“Dalam konteks negara kita, ini melibatkan kandungan yang bercanggah dengan adat, budaya, dan undang-undang, jadi semua platform media sosial boleh memanfaatkan teknologi AI untuk menyekat kandungan seperti ini,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Mohamad Sirajuddin
Mohamad Sirajuddin

Tambah beliau, penyedia per­khidmatan juga bertanggungjawab memastikan data pengguna sentiasa dalam keadaan selamat, kerana keculasan dari sudut teknikal boleh mengakibatkan maklumat peribadi pengguna terdedah kepada jenayah siber.

“Ia pernah berlaku sebelum ini, WhatsApp pernah digodam dan datanya dijual di pasaran gelap, Facebook atau Twitter pun pernah (berlaku kejadian sama). Mereka perlu pastikan dari sudut keselamatan siber,” katanya.

Dari sudut akauntabiliti pula, Mohamad Sirajuddin mencadangkan platform media sosial mewujudkan pusat panggilan yang lebih efisien bagi memudahkan pengguna membuat sebarang aduan berkaitan.

“Saya banyak kali buat laporan (contohnya) kandungan judi dalam talian, akhirnya saya dapat maklum balas yang mengatakan ia tidak melanggar standard komuniti. Kandungan itu tidak diturunkan sedangkan akaun itu diwujudkan untuk mempromosi judi, bahkan ia adalah iklan tajaan.

“Ada kelompongan besar dari sudut sokongan pelanggan dalam platform media sosial, dilihat seolah-olah mereka tidak efisien dalam mengendalikan kandungan yang melanggar undang-undang sesebuah negara.

“Platform media sosial ini sepatutnya menjalinkan usaha sama yang sangat rapat dengan kerajaan sebab kerajaan yang menjaga, membentuk polisi, dan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang untuk melindungi rakyat atau pengguna,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau turut menyarankan platform media sosial untuk memperbanyakkan program komuniti dengan menjalinkan hubungan rapat bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan, seperti inisiatif TikTok yang banyak menjalin kerjasama dengan komuniti.

Bagi Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Syed Agil Shekh Alsagoff, akauntabiliti penyedia kandungan seharusnya bertumpu kepada penyampaian maklumat media siber yang lebih bertanggungjawab dengan tidak menya­lurkan maklumat bersifat jelik, lucah, serta palsu kepada khalayak.

Tegasnya, penyedia kandungan juga harus mengambil peluang untuk mendidik masyarakat dalam menilai sebaran berita palsu dan bersifat propaganda untuk menga­buri mata pengguna serta me­ngundang konflik dan kontroversi.

Dr. Syed Agil
Dr. Syed Agil

“Ini termasuklah melaksanakan program membenteras be­rita palsu yang berkaitan dengan keselamatan negara, persengketa­an kaum, atau apa sahaja yang boleh mengundang kemudaratan kepada pemikiran dan perlakuan masyarakat kita,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan budaya siber yang memacu penggunaaan teknologi maklumat digital hari ini mencerminkan bahawa masyarakat harus berubah dan mengalihkan strategi mereka untuk menggunakan teknologi komunikasi secara lebih cekap, efisien, dan berupaya menyalurkan sumber maklumat lebih pantas serta berpengaruh.

Pada masa sama, beliau turut menekankan kepentingan Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 yang dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat baru-baru ini, yang mana pindaan turut melibatkan unsur kesalahan baharu.

Katanya, berdasarkan naskhah biru, RUU itu antara lain mencadangkan perlakuan apa-apa fraud (pernyataan palsu yang dibuat untuk mendapatkan faedah) dan kecurangan kepada mana-mana orang dimasukkan ke Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Hal ini sangat penting memandangkan ia membolehkan tindakan lebih tegas dikenakan kepada mana-mana penyedia kan­dungan dan pengguna kandungan media maya di negara ini.

“Kesediaan kerajaan untuk mengetatkan peraturan sedemikian memandangkan terdapat ba­nyak kes penipuan dan manipulasi kandungan siber yang berluasa, serta memberi ancaman terhadap kesejahteraan komuniti dan kese­lamatan negara.

“Penguatkuasaan terhadap kekangan jenayah siber ini diperhatikan lebih mencabar kini, apalagi dengan munculnya teknologi maklumat terkini seperti AI yang boleh disalah gunakan oleh pihak-pihak tertentu,” ujarnya.

Tindakan penurunan kandungan di media sosial (dari 2022 hingga 1 Disember 2024)

Scam: 62,833 kandunganPelacuran: 2,165 kandunganJudi dalam talian: 185,858 kandunganLucah: 1,947 kandunganPenderaan seksual kanak-kanak: 1,387 kandungan

*Sumber dari Kementerian Komunikasi