Tang Jie mahu jadi sehebat legenda China

Chen Tang Jie

TANG JIE

PENGALAMAN beraksi menentang jaguh beregu campuran China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 di Hangzhou, China memberi pengalaman cukup bermakna buat pasangan negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Apa tidaknya, pertemuan di kejohanan penutup kalendar Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu merupakan penampilan terakhir Si Wei sebelum mengumumkan persaraannya.

Tang Jie berkata, aksi menentang Si Wei-Ya Qiong di perlawanan akhir dijadikan sebagai pengajaran cukup berharga dalam usaha dia dan Ee Wei mengharungi cabaran untuk menjadi beregu terbaik dunia.

“Ketika itu (perlawanan akhir) memang kita mahukan kemenangan tetapi kami sudah mencuba. Kita tidak mampu untuk menewaskan mereka, namun kami gembira kerana dapat menjadi lawan terakhir dalam kariernya (Si Wei).

“Dia (Si Wei) bukan sahaja hebat di gelanggang, namun cara dia berlatih serta komitmen luar gelanggang memberi inspirasi kepada saya. Itu yang saya harus belajar daripadanya,”katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Tang Jie Ee Wei 2
TANG Jie (kanan) dan Ee Wei muncul naib juara Jelajah Dunia Akhir berlangsung di Hangzhou baru-baru ini. – AFP

Pada aksi final berlangsung 15 Disember lalu, hasrat Tang Jie-Ee Wei menjadi wakil Malaysia pertama memenangi WTF tidak tertunai apabila tewas 14-21, 21-10, 17-21 kepada Si Wei-Ya Qiong.

Sementara itu, Ee Wei menjadikan pertemuan menentang juara Olimpik itu sebagai salah satu medan untuk menguji kemampuan diri selain peluang memperbaiki prestasi sendiri pada masa akan datang.

“Semua orang tahu mereka adalah juara Olimpik dan beregu terbaik dunia. Banyak yang kami belajar daripada mereka perlawanan tersebut. Bagi saya, itu satu kelebihan walaupun kami tewas.

“Bukan senang untuk sampai ke tahap ini kerana kami bermula dari bawah dan orang tidak kenal siapa kami. Kami hanya ambil pendekatan langkah demi langkah selain kekal merendah diri,”ujarnya.