KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini diteruskan pada hari ketujuh, hari ini.
Pasukan SAR dari Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dilihat mula melakukan kerja-kerja melalui kaedah Ground Penetrating Radar (GPR) pada hari ini sehingga selesai.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif berkata, keutamaan pasukan SAR adalah untuk menemukan mangsa secepat mungkin selain usaha tanpa henti dilakukan secara berterusan.
“Saya menzahirkan ucapan terima kasih kepada pasukan SAR yang tanpa mengenal jemu dan putus asa serta terus berusaha dari siang hingga ke malam mencari mangsa.
“Semangat dan iltizam yang ditunjukkan oleh seluruh pasukan SAR, amat dihargai. Marilah kita bersama-sama mendoakan agar semua petugas terus diberikan kesihatan yang baik dan usaha ini dapat diselesaikan dengan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! mendapati tumpuan pasukan SAR masih terarah di sekitar lokasi kejadian selepas melihat petugas JMG mula melakukan pencarian menggunakan GPR berhampiran lokasi itu pada pukul 9.30 pagi tadi.
Premis perniagaan masih beroperasi seperti biasa namun jumlah pengunjung dilihat berkurangan disebabkan terdapat halangan garisan kuning.
Jumaat lalu, media melaporkan seorang pelancong wanita dari India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dikhuatiri terjatuh ke dalam tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini. – https://amiminerals.org/