KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melaksanakan audit integriti bagi mengenal pasti punca terjadinya kejadian tanah jerlus di sekitar Masjid India, di sini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelbagai agensi akan dipanggil untuk melihat secara keseluruhan utiliti di bawah tanah.
Jelasnya, Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) antara agensi dijangka terlibat dalam kerja-kerja itu.
“Untuk di pihak IWK, saya telah membuat arahan untuk membuat audit integriti, kita perlu periksa keseluruhan kawasan ini, di mana punca dan mengapa ianya (tanah jerlus) berlaku. Sebab kadang-kadang ada pembangunan baru yang dilaksanakan jadi kita nak cari punca.
“Fokus utama kita lihat secara keseluruhan susulan berlaku mendapan kali kedua. Jadi, kita akan melihat segala utiliti di bawah tanah ini untuk kenal pasti kejadian ini.
“Audit integriti ini untuk mengetahui tindakan-tindakan apa yang perlu ditambah baik sistem kita bagi memastikan kejadian ini di masa depan tidak akan berulang lagi,” katanya ketika sidang akhbar selepas meninjau di lokasi kejadian.
Bagaimanapun, proses integriti audit hanya akan dilaksanakan selepas selesai operasi mencari dan menyelamat (SAR) Vijayaletchumy, 48.
Tegasnya, buat masa ini fokus utama pihaknya adalah pada mencari wanita warga India berkenaan.
Setakat ini, mangsa masih belum ditemui walaupun pelbagai kaedah termasuk kemudahan teknologi telah digunakan.
“Segala kemungkinan sudah pun dibuat di kawasan ini, teori serta teknologi termasuk sistem pembentungan sehingga IWK di Pantai Dalam.
“Bagaimanapun, usaha untuk kita mencari belum berjaya. Jadi, SAR hari ini difokuskan di kawasan ini (Masjid India),” jelasnya.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain turut meninjau lokasi kejadian pada pukul 11.15 pagi tadi. -Iteenews.