Taklimat pembangunan rumah letupan Putra Heights dalam dua minggu lagi

PAIP GAS PUTRA HEIGHTS

Keadaan rumah yang rosak dan terbakar akibat kebakaran paip gas di Putra Heights baru-baru ini.

SHAH ALAM – Taklimat pembangunan semula atau pembinaan semua rumah yang terjejas akibat kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini akan dibuat selewat-lewatnya dua minggu lagi.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berhubung pembaikan rumah berkenaan sebelum ini.

Katanya, pembangunan atau pembinaan semula itu melibatkan peruntukan yang besar dari Kerajaan Persekutuan dengan pihaknya sedang menunggu komitmen itu.

“Bina rumah akan bermula sebab kita telah muktamadkan dan akan panggil semua pihak terlibat. Saya sendiri telah bertemu Kor Ming.

“Sekarang ini, saya hendak selesaikan bab sewa dengan semuanya akan diserahkan pada minggu depan,”katanya ketika ditemui pemberita Majlis Ehsan Raya Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Wisma PKPS di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan memaklumkan inisiatif pemulihan dan pembinaan semula rumah yang terjejas akibat insiden itu dijadikan sebagai antara fokus utama.

Berdasarkan kenyataan itu, Pasukan Petugas Khas ditubuhkan yang terdiri daripada agensi-agensi di bawah kementerian tersebut khususnya agensi pelaksana seperti Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dan PR1MA.

Amirudin memberitahu, kerajaan negeri menyediakan peruntukkan lebih enam bulan untuk bantuan sewa.

“Tetapi awal-awal ini kita bagikan dulu untuk tiga bulan sebab ada sebahagiannya sudah boleh pulang selepas sebulan atau dua bulan. Ini disebabkan rumah mereka itu hanya melibatkan kerosakan-kerosakan kecil.

“Selain itu, terserah juga kepada mangsa sama ada mahu mengambil rumah sewa yang diuruskan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

“Namun kerajaan negeri berpendapat adalah lebih baik memberikan duit sewa berpatutan yang boleh digunakan untuk keperluan harian termasuk bayar deposit rumah sewa,”katanya.

Mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan Dr. Afif Bahardin mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pembangkang tidak dilibatkan berhubung taklimat khas insiden itu, Amirudin menegaskan ia hanyalah tanggapan kosong.

“Itu adalah permintaan ADUN kerajaan ingin mendengar taklimat, Jadi kita beri taklimat. Banyak taklimat ditumpukan apa bantuan-bantuan sokongan telah diberikan.

“Malah dalam laman sesawang berkaitannya juga disediakan. Kalau dia (Arif) nak tahu boleh rujuk laman sesawang itu sejauh mana kita telah membantu. Manakala, siasatan masih berjalan oleh bahagian teknikal dan sebagainya,”katanya. – https://amiminerals.org/