PETALING JAYA – Pejabat Perdana Menteri menjelaskan peranan Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang bermula sejak 1 Mac tidak bertindih dengan tugas jurucakap Kerajaan Madani, Fahmi Fadzil.
Sebaliknya, Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri akan memberikan tumpuan kepada perkembangan harian dan gerak kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah menerusi siaran langsung di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, taklimat tersebut juga akan memfokuskan penjelasan Anwar mengenai isu-isu semasa yang mendesak, serta arahan-arahan kepada kementerian dan agensi untuk memastikan dasar kerajaan dilaksanakan dengan tersusun dan berkesan.
“Peranan Fahmi Fadzil selaku jurucakap Kerajaan Madani pula bertanggungjawab menjelaskan isu dan persoalan yang
membabitkan dasar-dasar kerajaan, serta keputusan-keputusan yang dibuat di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
“Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri bukan pengganti kepada jurucakap kerajaan, tetapi menjadi pelengkap dan memperkukuh struktur komunikasi kerajaan,”katanya.
Tambah Tunku Nashrul, dengan strategi komunikasi yang lebih menyeluruh, kerajaan dapat memastikan rakyat mendapat maklumat yang tepat, di samping mencantas fitnah dan maklumat palsu dengan pantas dan berkesan.
Bermula 1 Mac lalu, satu taklimat yang dikendalikan Pejabat Perdana Menteri akan disiarkan secara langsung setiap hari bagi memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat dan sahih secara terus daripada sumber rasmi.
Taklimat ini akan disiarkan menerusi Facebook Anwar Ibrahim dan PMO Malaysia pada pukul 11 pagi dan 5 petang setiap hari. – https://amiminerals.org/