\’Tak terkira DM\’ – Masih ramai sayang Nur Fazura

WhatsApp Image 2024 11 09 at 3.54.11 PM

Nyanyian Fazura di Indonesia bukan hanya mendapat kecaman hebat tetapi turut secara tidak langsung mempopularkan lagu duetnya dengan bekas suami berjudul Bertahan Demi Cinta.

SELEPAS meledak kes cerai dengan bekas suami, Fattah Amin, nama Fazura kembali memanas sehingga menjadi bahan bualan ramai dalam media sosial.

Biarpun dalam konotasi negatif apabila mutu vokalnya dikecam, tindakan mempromosikan lagu Bertahan Demi Cinta dengan membuat persembahan di sebuah rancangan di Indonesia baru-baru ini hakikatnya mempopularkan single duet bersama mantan suaminya itu.

Difahamkan, itu juga merupakan kemunculan pertamanya sejak bercerai talak satu dengan aktor terbabit pada 7 Oktober lalu.

Siapa sangka kemunculan pertama sudah membuatkan namanya meledak walaupun nyanyiannya dikatakan sumbang mambang.

Bermacam-macam kritikan yang dilontarkan kepada pemilik nama lengkap Nur Fazura Sharifuddin, 41, termasuk ada dalam kalangan peminat melakukan pelbagai konten TikTok menggunakan audionya.

Kritikan dari rakan artis

Bukan hanya netizen, Fazura turut menerima kritikan daripada rakan artis seperti Rashidi Ishak, Masdo dan Sharnaaz Ahmad.

Rashidi menyifatkan nyanyian ibu kepada seorang cahaya mata itu memerlukan bantuan pakar kerana dia tone deaf atau pekak nada.

Senada dengan Rashidi, Sharnaaz dengan jujurnya mengakui nyanyian Fazura tidak sedap.

Namun, dia berasa simpati dengan nasib bekas isteri Fattah itu yang dikecam teruk orang ramai.

Berbeza pula pendapat dengan kumpulan Masdo yang berpendapat nyanyian ‘ke laut’ Fazura sedikit sebanyak boleh merosakkan pandangan orang Indonesia terhadap kualiti pemuzik dan penyanyi Malaysia.

Bagaimanapun, anggotanya iaitu Ali berharap netizen sudi memberi ruang dan tidak terus membuat kecaman melampau hanya kerana satu persembahan yang tidak sempurna itu.

FAZURA 1 1
Biarpun ramai mengkeji, semua itu tidak menjadi kudis buat selebriti sensasi, Fazura.

Sokongan penuh

Dalam pada menerima kritikan bertubi-tubi, tetapi masih ada yang sayangkan Fazura dan menyokong penuh karier wanita yang memegang status ibu tunggal itu.

Menurut pelakon Abby Abadi, nyanyian Fazura tiada masalah kerana bukan mudah untuk menyanyikan lagu duet secara solo.

Dia juga sempat mengherdik netizen yang mengkritik nyanyian pelakon filem Langit Cinta itu selain menasihatkan orang ramai untuk beristighfar.

Selain Abby, usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri pula mempelawa Fazura untuk berduet bersama dan memuji kelunakan vokal wanita itu.

Masih ramai peminat yang tetap menyokong anak jati Pekan, Pahang itu dengan memberikan kata-kata semangat untuk terus berjuang.

Disebabkan itu, Fazura tidak lupa untuk menghargai jasa orang di sekelilingnya terutama peminat yang masih memberikan sokongan walaupun ditimpa bermacam ujian.

“Terima kasih kesayangan saya, Ustazah Asni atas hadiah yang cukup indah dan istimewa. Di saat saya dalam fasa menikmati dan memerhati, ternyata orang-orang baik dari jauh diperlihatkan dan begitu juga sebaliknya.

Tidak terkira mesej langsung (DM) ikhlas daripada peminat. Saya sayang kalian dan semoga Allah memberkati kalian,” kata Fazura dalam sebuah hantaran Instagram.

Dia yang juga sedar dengan kecaman itu turut berharap dapat memperbaiki vokal apabila seorang peminat membuat ‘cover’ lagu Bertahan Demi Cinta dalam Instagram.

Sedap dia menyanyi, kita kena buat latihan lagi,” ujarnya ringkas.

Diharapkan, Fazura menerima dengan hati terbuka segala kritikan baik daripada netizen mahupun rakan artis.

Netizen juga seharusnya tidaklah perlu terlalu lantang dalam memberi komen walaupun tidak menyukai vokal aktres itu.