Tak sesuai ‘jalan-jalan cari makan’ sepanjang laluan Jeli-Gerik

Poster peringatan yang dikongsikan di Facebook Kelantan info semasa.

Poster peringatan yang dikongsikan di Facebook, Kelantan Info Semasa.

PETALING JAYA – “Makan siap-siap sebelum Batu Melintang atau Pekan Gerik hingga kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Kuala Kangsar sebelum meneruskan perjalanan anda”.

Demikian pesanan khas buat anak-anak perantau yang berada di negeri sebelah utara dan Pantai Timur jika ingin melalui Lebuh Raya Timur-Barat.

Menerusi perkongsian di Facebook, Kelantan info semasa, pihaknya mengingatkan pengguna lebuh raya terbabit untuk mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang melalui laluan berisiko serangan haiwan liar.

“Zon haiwan, tidak sesuai transit unruk JJCM (jalan-jalan cari makan) di laluan Lebuh Raya Timur – Barat (Jeli – Gerik). Anda tidak perlu berhenti (zon bahaya bermula Batu Melintang (Jeli) ke Bandariang Gerik).

“Kawasan digazetkan oleh Jabatan Kerja Raya sebagai kawasan binatang buas seperti gajah, harimau dan lain-lain,” katanya.

Sebelum ini, beberapa kejadian serangan harimau dilaporkan melibatkan laluan Jeli le Gerik sehingga menimbulkan ketakutan kepada orang ramai.

Terbaharu, seorang lelaki warga Myanmar ditemui maut disyaki dibaham harimau berdekatan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Jeli-Gerik, Batu Melintang pada Khamis lalu.

Mangsa ditemukan dengan kesan kecederaan gigitan di leher, rahang bahagian kiri dan kanan, kesan cakar di belakang badan, dada serta putus paha kiri.

Turut dilaporkan kes seorang lelaki maut dipercayai dibaham harimau di sebuah rumah kongsi di Kilometer 79.2, JRTB Gerik-Jeli pada 15 Oktober lepas.

Sementara itu, di ruangan komen hantaran tersebut, rata-rata anak perantau menggesa pihak berwajib untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi membendung kes serangan harimau ke atas orang awam.

“Saya selalu ulang-alik jalan ini. Tolonglah JKR atau pihak berwajib ambil cakna isu ini. Ia soal keselamatan awam, banyak sangat kes serangan harimau dalam satu masa,” kata Mahadi.

“Jalan utama aku balik kampung dari Perak ke Terengganu. Selepas ini kena lebih berhati-hati, jumpa gajah itu biasa tapi harimau belum lah,” kata Noor Zuriyani. – https://amiminerals.org/