Tak sempat solat Jumaat, warga emas ditemui maut dalam parit

WhatsApp Image 2024 12 27 at 20.23.55 e1735305512328

MOTOSIKAL yang ditunggang oleh Naim Suib ditemui berada dalam longkang besar di Kampung Tengah Dalam ketika pergi ke Masjid Kampung Tengah untuk menunaikan solat Jumaat tengahari tadi.- Foto Adnan Ibrahim

KLUANG – Hasrat seorang lelaki untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Tengah di sini tidak kesampaian selepas ditemukan maut di dalam longkang.

Mayat Naim Suib, 61, ditemukan penduduk yang ingin ke masjid sama kira-kira pukul 1 petang. Lokasi kejadian kira-kira 500 meter.

Rohana Idris, 56, berkata, suaminya sempat bermain dengan cucu perempuan mereka yang berusia tiga bulan sebelum keluar untuk ke masjid kira-kira pukul 12.15 tengah hari.

“Menjadi kebiasaannya lepas bekerja memotong rumput dia akan makan atau minum di kedai berhampiran kampung sebelum balik ke rumah,”katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tengah Dalam hari ini.

Menurut Rohana, jenazah arwah suaminya dikebumikan di di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengah malam ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal dipercayai terbabas sebelum terjatuh ke dalam longkang besar.-https://amiminerals.org/