Tak sempat hantar lapan ekor lembu seludup

WhatsApp Image 2025 03 13 at 13.00.17

Sebanyak lapan ekor lembu yang dirampas di dalam sebuah lori di Kampung Banggol Beta, Tumpat hari ini. FOTO IHSAN PGA

TUMPAT – Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan menyeludup sebanyak lapan ekor lembu seludup bernilai RM78,000 selepas menahan sebuah lori di Kampung Banggol Beta di sini awal pagi tadi.

Lori dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2.50 pagi semasa anggota PGA menjalankan Op Taring Kandang di kawasan tersebut.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, lori tersebut ditahan selepas mendapati ia dipandu dalam keadaan mencurigakan semasa tiba di kawasan jalan besar di Kampung Banggol di sini.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam lori itu menjumpai sebanyak lapan ekor lembu dianggarkan bernilai RM78,000 yang disyaki diseludup dari Thailand.

“Pemandu kenderaan itu gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan lembu-lembu tersebut.

“Hasil rampasan dibawa ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Nik Ros Azhan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953. – https://amiminerals.org/