PETALING JAYA – Gangguan seksual terhadap kanak-kanak oleh individu dikenali memberi kesan psikologi yang mendalam, bukan sahaja jangka masa pendek tetapi sepanjang hayat.
Menurut Pegawai Psikologi Kanan Pejabat Pendaftar Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani, trauma yang dialami mangsa boleh mencetuskan tekanan melampau hingga menjejaskan kesihatan mental dan kehidupan harian mereka.
Katanya, mangsa selalunya mengalami gejala seperti mimpi buruk, gangguan tidur, mudah terkejut dan tidak mampu menjalani rutin harian seperti biasa.
“Kesan jangka pendek trauma ini termasuk perubahan emosi yang mendadak, hilang selera makan, menangis berterusan serta mengasingkan diri daripada orang sekeliling,” katanya.
Beliau berkata, tekanan bertambah buruk sekiranya mangsa tidak dipercayai, dipersalahkan atau tidak mendapat pembelaan sewajarnya selepas melaporkan kejadian yang dialami.
Dalam jangka masa panjang katanya, trauma itu boleh berubah menjadi kemurungan serius, gangguan personaliti atau kecenderungan untuk mencederakan diri akibat hilang keyakinan diri.
“Mereka akan membenci diri sendiri, menyimpan dendam dan tidak mempercayai sesiapa termasuk ahli keluarga,” jelasnya.
Tambah beliau, kanak-kanak yang mengalami trauma berisiko untuk membesar dengan tingkah laku menyimpang, mudah berprasangka serta mengalami gangguan emosi berterusan jika tidak diberi rawatan sewajarnya.
Antara bentuk rawatan yang disyorkan termasuk kaunseling, psikoterapi, rawatan psikiatri dan sokongan spiritual daripada keluarga terdekat. Sokongan emosi yang berterusan amat penting dalam proses pemulihan.
“Sokongan yang bersifat tanpa prejudis memberi ruang kepada mangsa untuk meluahkan perasaan tanpa rasa takut atau dipersalahkan,” katanya.
Menurut beliau, rawatan kesihatan mental di Malaysia merangkumi pendekatan holistik melibatkan ubat-ubatan, terapi psikologi dan pendidikan kesedaran kendiri.