Tak lepas memotong, Hazwan maut dirempuh Aruz

WhatsApp Image 2025 05 02 at 10.59.21 AM

SEORANG lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 50.2 Lebuh Raya Senai–Desaru (E22), Kota Tinggi, malam tadi.

KOTA TINGGI – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 50.2 Lebuh Raya Senai–Desaru (E22), di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam itu, mangsa, Muhammad Hazwan Hishamuddin, 28, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, kemalangan melibatkan dua buah motosikal jenis Yamaha LC135 dan Yamaha Y15ZR serta sebuah kereta Perodua Aruz.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC135 dipercayai hilang kawalan semasa cuba memotong sebelum melanggar bahagian belakang motosikal Yamaha Y15ZR yang berada di hadapannya.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa terbabas ke laluan bertentangan dan dirempuh oleh sebuah Perodua Aruz yang sedang melalui laluan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, penunggang Yamaha Y15ZR yang berusia 21 tahun serta pemandu Perodua Aruz berusia 46 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – https://amiminerals.org/