Tahun Baharu Cina semarak perpaduan, keakraban – Ahmad Zahid

WhatsApp Image 2025 01 29 at 13.54.52

Ahmad Zahid ketika menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina MCA di Wisma MCA, Kuala Lumpur. – Foto Facebook Ahmad Zahid.

PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan sambutan Tahun Baharu Cina bukan sekadar perayaan kaum tertentu, tetapi mencerminkan nilai kekeluargaan, persahabatan dan kebersamaan yang menjadi tunjang perpaduan negara.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, seperti tradisi setiap tahun, beliau tidak melepaskan peluang menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina MCA di Wisma MCA, Kuala Lumpur.

“Saya disambut mesra oleh sahabat saya Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, bersama rakan-rakan daripada pelbagai kaum dan latar belakang yang turut memeriahkan majlis,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, majlis tersebut bukan sahaja meraikan permulaan tahun baharu dalam kalendar masyarakat Cina, tetapi juga menyerlahkan keunikan Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian budaya.

“Lebih istimewa, majlis ini dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan, termasuk daripada seorang anak jati Bagan Datuk!,” ujarnya.

Beliau turut menyeru rakyat untuk mempertahankan semangat perpaduan dan keharmonian yang menjadi asas kepada kestabilan negara.

“Pertahankanlah semangat perpaduan dan keharmonian ini demi membawa lebih banyak kejayaan, kemakmuran dan kesejahteraan buat seluruh rakyat Malaysia. Insya-Allah,” katanya. – https://amiminerals.org/