Tabika Kemas Autisme pertama dibuka tahun depan di Melaka

WhatsApp Image 2024 12 24 at 9.11.23 PM

Gambar yang dikongsikan Dr Muhamad Akmal (dua kanan) ketika mengadakan pertemuan bersama Ahmad Zahid, hari ini.

PETALING JAYA – Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) autisme pertama di Malaysia akan dibuka dan dimulakan di Melaka pada tahun hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, Tabika Kemas Autisme seterusnya akan dibuka di setiap daerah dan keutamaan akan diberi kepada anak-anak autistik dari golongan B40 terlebih dahulu.

Menurut beliau, cadangan perlaksanaan Tabika Kemas Austisme itu diterima dengan baik ketika mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

“Kerana antara keluhan yang kita dapati adalah dari segi kos untuk kelas terapi di pusat swasta adalah tinggi dan sangat terkesan untuk ibu bapa ini menghantar anak-anak syurga mereka ke pusat terapi.

“Kita tidak mahu disebabkan kekangan kewangan anak-anak syurga ini tercicir peluang pelajaran mereka. Kita dengar,kita faham dan kita selesaikan. Terima kasih ayahanda Presiden!,”katanya di Facebook.

Mac lalu Kosmo! melaporkan, Kerajaan Negeri Melaka bercadang untuk mewujudkan sebuah sekolah khas untuk kanak-kanak autistik khusus bagi golongan B40.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Negeri, Datuk Kalsom Nordin berkata, sebelum ini terdapat cadangan untuk mewujudkan pusat pendidikan awal kanak-kanak autistik di setiap zon termasuk di Melaka.

Kata beliau, bagaimanapun cadangan tersebut tidak dapat diteruskan susulan berlaku perubahan kerajaan di peringkat Persekutuan.

“Buat masa ini tiada sekolah autisme di bawah naungan kerajaan di Melaka, hanya satu pusat pendidikan dikendalikan pihak swasta di Peringgit dengan yuran kira-kira RM350 untuk seorang pelajar.

“Bagaimanapun tidak ramai ibu bapa mampu untuk menghantar anak ke sana, jadi banyak aduan daripada guru berdepan masalah untuk mendidik anak istimewa ini yang dihantar ke taska biasa,” katanya ketika sidang akhbar persidangan DUN Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh. – https://amiminerals.org/