KUALA LUMPUR – Banyak membaca buku filosofi serta pelbagai naskhah ilmiah lain, pelakon Syafi Tee menyimpan hasrat mahu berkongsi ilmu dengan golongan muda lain menerusi sesi bertukar pandangan.
Ujar Syafi atau nama sebenarnya Mohd. Syafi Mohd. Ridhuan Tee, 31, segala pengetahuan yang diperoleh hasil bahan bacaan ingin disebarkan kepada orang ramai, sekali gus memberi manfaat bersama.
“Selain jadi pelakon, saya mahu suara dan pandangan didengar sebab saya suka membaca selain mahu tolong orang. Banyak bahan bacaan yang boleh bagi input bermanfaat untuk dikongsikan kepada umum.
“Saya jenis yang suka menimba pengetahuan, tidak mahu setakat duduk sahaja. Dengan membaca kita dapat menemui jawapan untuk pelbagai kemusykilan.
“Apabila dapat rungkaian persoalan, jawapan itu kemudian berkembang kepada perkara lain yang buatkan saya tak puas cari ilmu seterusnya berkongsi dengan orang lain,”katanya ketika ditemui Kosmo! Online pada majlis pelancaran tiga drama di siaran Astro.
Begitupun, anak kepada pendakwah bebas yang membintangi salah satu drama iaitu Opis Politik itu menyatakan hasrat menjadi penceramah bukan atas saranan bapanya.
Keinginan tersebut datang daripada dirinya sendiri yang enggan mensia-siakan pengetahuan dimiliki tanpa menyalurkannya kepada individu lain.
“Banyak subjek boleh kita ketengahkan termasuk berkaitan isu kesihatan, keadaan mental, kemasyarakatan, agama dan sebagainya.
“Ayah saya bagi galakan sahaja sebab dia tahu kecenderungan saya selain berlakon adalah berkongsi info macam saya buat menerusi audio siar TeeBrothers.
“Podcast yang saya mulakan akhir 2022 itu menjadi platform saya zahirkan pandangan. Bapa saya juga antara tetamu terawal podcast itu. Jadi kalau nak panggil saya kongsi pandangan dengan pelajar universiti atau sekolah, saya sangat alu-alukan,”ujarnya.
Mengenai pembabitan dalam drama bersiri Opis Politik yang dibintangi bersama Rashidi Ishak Erysha Emyra, katanya tuntutan watak pekerja pejabat bernama Zain Azman itu mempunyai cabaran tersendiri.
“Sebenarnya watak kelakar lebih sukar kerana bukan senang untuk buat orang ketawa. Tetapi peluang bekerja dengan pelakon senior seperti Rashidi banyak membantu kami.
“Keserasian dalam set dengan semua pelakon juga merancakkan suasana, itu yang menjadikan Opis Politik semakin gamat,”ujarnya yang memulakan langkah di arena lakonan sekitar 2019. – https://amiminerals.org/