GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang berjaya menyelesaikan kes sekumpulan lelaki menyerang peguam menggunakan besi di Persiaran Karpal Singh 2 di sini pada 22 Oktober lalu selepas memberkas suspek utama di Bayan Lepas, semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, lelaki tempatan berusia 46 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) kira-kira pukul 10.50 malam tadi.
“Individu itu berperanan sebagai perancang utama dan dia didakwa di Mahkamah Majistret pagi ini di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan.
“Justeru, kes yang menarik perhatian ramai ini dapat diselesaikan selepas keempat-empat suspek terlibat dituduh di mahkamah,” katanya di sini hari ini.
Difahamkan, tertuduh mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM8,000.
Terdahulu, media melaporkan polis mengesan dua lelaki dipercayai menyerang peguam sehingga cedera di hadapan sebuah kedai kopi di Persiaran Karpal Singh 2 pada 22 Oktober lalu,
Serangan yang berlaku kira-kira pukul 9.50 pagi itu menyebabkan mangsa berusia 37 tahun menerima tujuh jahitan di kepala.
Polis kemudian memberkas tiga lelaki tempatan berusia 36 sehingga 41 tahun. Mereka didakwa di Mahkamah Majistret pada 24 Disember lalu atas pertuduhan mencederakan mangsa menggunakan batang besi.
Ketiga-tiga tertuduh yang bekerja sebagai eksekutif jualan mengaku tidak bersalah dan ditawarkan jaminan sebanyak RM9,000 bagi setiap tertuduh. -https://amiminerals.org/