Surat tawaran syarikat bekal kamera badan JPJ dikeluarkan Ogos atau September depan

WhatsApp Image 2025 01 26 at 3.38.33 PM

Aedy Fadly (tengah) menyampaikan sumbangan kepada anggota JPJ yang terjejas banjir pada Perhimpunan Setia Khas JPJ Negeri Kelantan di JPJ Kelantan, Panji di Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Surat tawaran kepada syarikat yang terpilih untuk membekalkan peralatan dan teknologi kamera badan kepada anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dijangka dikeluarkan pada Ogos atau September depan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, buat masa ini, proses perancangan perolehan sedang dijalankan dan ia akan mengambil masa.

Menurutnya, tidak semua unit di JPJ akan memperoleh dan menggunakan kamera badan kerana terdapat pelbagai kekangan termasuk aspek kewangan yang perlu diambil kira.

“Kita menjangkakan surat tawaran kepada syarikat yang terpilih dikeluarkan pada Ogos atau September depan selepas proses perolehan selesai.

“Banyak projek lain yang telah dilaksanakan oleh JPJ dan penggunaan teknologi kamera badan merupakan salah satu daripadanya. Proses itu sedang berjalan dan ia akan mengambil masa,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Setia Khas JPJ Negeri Kelantan di pekarangan parkir awam JPJ Kelantan, Panji di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Aedy Fadly memberitahu, satu operasi standard (SOP) atau peraturan mengenai penggunaan kamera badan untuk anggota JPJ sedang dibangunkan ketika ini.

Menurutnya, SOP itu akan ditetapkan kepada anggota atau pegawai yang akan mengendalikan teknologi tersebut selepas ini.

“Ada SOP tertentu diperkenalkan selepas ini. Ia sedang dibangunkan oleh Bahagian Penguatkuasaan JPJ.

“Buat masa ini, penerapan nilai integriti terhadap pegawai dan anggota JPJ tetap berjalan seperti biasa,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan, anggota penguat kuasa JPJ dijangka menggunakan peranti kamera badan bermula tahun ini untuk meningkatkan ketelusan dan keberkesanan penguatkuasaan khu­susnya me­libatkan kende­raan berat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penggunaan peranti berkenaan juga bertujuan melindungi anggota ketika mereka melakukan penugasan di lapangan. – https://amiminerals.org/