ALOR SETAR – Sumber air di negeri ini kritikal jika takungan di Empangan Pedu yang digunakan bagi tujuan domestik, pertanian dan industri menurun sehingga 15 peratus.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, pemantauan paras takungan air semasa adalah berpandukan data di Empangan Pedu yang kini pada paras 37.02 peratus.
“Ia kerana Empangan Muda hanya merupakan kawasan tadahan air yang terus disalurkan ke Empangan Pedu melalui Terowong Saiong sepanjang 6.8 kilometer.
“Sebab itu paras di Empangan Muda akan berubah secara drastik mengikut keadaan semasa. Kalau hujan lama parasnya naik dan jika kemarau macam sekarang paras air turun dengan cepat,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata, Empangan Pedu pernah mencatatkan paras 11.21 peratus pada 15 April 1982, namun masih mampu menampung permintaan ketika itu.
“Sekiranya paras Empangan Pedu kini mencecah 15 peratus, maka amat wajar untuk kita berada dalam situasi panik tetapi kini bacaannya masih 37 peratus selain ramalan menjangkakan akan kembali hujan selepas ini,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, Empangan Muda juga pernah menurun sehingga 2.7 peratus pada 6 Mac 1978 berbanding kini yang merekodkan bacaan sebanyak 7.44 peratus.
“Di Empangan Ahning pula pada 29 Mac 2005 kita pernah mengalami penyusutan takungan kepada 27 peratus berbanding sekarang yang mencatatkan 80.76 peratus.
“Justeru, jumlah keseluruhan takungan di ketiga-tiga empangan itu yang kini 41.97 peratus masih mencukupi untuk memenuhi permintaan dan keperluan semasa,” katanya.
Tambahnya, takungan air itu juga mampu menyokong pengairan tanaman padi untuk musim 1/2024 ketika ini dan dijangka boleh bertahan sehingga memasuki musim 2/2024 tidak lama lagi. – Iteenews