KUCHING – Skuad Wushu dan Taekwondo melonjakkan Sarawak ke kedudukan teratas dalam carta kutipan pingat Sukan Malaysia (Sukma) 2024 setakat pukul 6 petang ini.
Menerusi Wushu, sebanyak tiga pingat emas, lima perak dan empat gangsa berjaya dikutip manakala Taekwondo menyumbang tiga emas, satu perak dan satu gangsa.
Selain itu, Tenpin Boling turut menyumbang satu pingat emas manakala satu perak dan satu gangsa diperolehi menerusi Boling Padang.
Berdasarkan kedudukan pingat di laman rasmi Sukma 2024 setakat pukul 6 petang tadi, Sarawak mengumpulkan tujuh emas, tujuh perak dan enam gangsa.
Manakala, Melaka di kedudukan kedua dengan tujuh emas, empat perak dan lima gangsa.
Wilayah Persekutuan pula berada di kedudukan ketiga dengan kutipan enam emas, tujuh perak dan 14 gangsa sementara Terengganu di kedudukan keempat dengan enam emas, satu perak dan lima gangsa.
Ketika ini, beberapa acara sudah mula dipertandingkan dalam temasya Sukma 2024 yang dijadualkan bermula 17 hingga 24 Ogos ini, dengan acara perasmian bakal berlangsung pada pukul 8 malam esok di Stadium Sarawak. – Iteenews