Stadium Shah Alam tak sempat digunakan untuk Sukma Selangor

KOMPLEKS SHAH ALAM

GAMBARAN grafik menunjukkan rupa dan keadaan stadium baharu di KSSA.

SHAH ALAM – Temasya Sukan Malaysia (Sukma) yang akan berlangsung di Selangor pada Jun 2026 tidak akan menggunakan Stadium Shah Alam sebagai antara venue utamanya.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, ini berikutan pembinaan stadium baru berkenaan dijangka siap pada penghujung 2026.

Katanya, proses perobohan stadium ketika ini berjalan dengan lancar dan proses kerjanya dijangka selesai pada Mei tahun depan.

BASIKAL CILIK
Mohd. Najwan (tengah) melepaskan peserta pertandingan basikal cilik dalam program tersebut, hari ini.
– Foto oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS / KOSMO!

“Saya kena jujur kerana atas kertas memang Stadium Shah Alam tidak sempat siap sebelum Jun 2026, yang mana Sukma 2026 dijangka diadakan pada bulan berkenaan.

“Difahamkan stadium berkenaan dijangka siap pada penghujung tahun 2026,”katanya ketika ditemui pemberita hari ini, selepas melancarkan program Jelajah Belia Madani Selangor daerah Petaling di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, di sini.

Dalam pada itu, Mohd. Najwan memaklumkan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan Malaysian Resources Corporate Berhad (MRCB) masih lagi melakukan perbincangan berhubung pembinaan stadium baharu.

“Apa yang dibincangkan itu, saya tidak pasti. Lebih baik tanya pihak MBI Selangor dan MRCB berhubung hal ini,”jelasnya. – https://amiminerals.org/