SPRM pastikan CelO kekal relevan, beri impak dalam tatakelola negara

WhatsApp Image 2025 04 22 at 12.39.27 PM

Azam menyampaikan Pentauliahan Pegawai Intergriti Kehormat kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Murshid DiRaja Dr. Juanda Jaya pada Majlis Istiadat Konvokesyen CelO ke-11, di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa memastikan Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) kekal relevan, adaptif dan memberi impak dalam landskap tatakelola negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya sentiasa berusaha mengekalkan momentum usaha membanteras rasuah melalui pendekatan pencegahan yang sistematik.

Beliau berkata, salah satu usaha adalah SPRM membangunkan arahan baharu bagi menggantikan arahan Perdana Menteri No. 1 Tahun 2009 Siri 1 No. 1 Tahun 2011.

“Usaha ini selaras dengan perkembangan dan keperluan semasa dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam.

“Arahan baharu ini dijangka dilancarkan pada penghuiung tahun ini dan bakal menjadi penanda aras baharu dalam memperkukuh pelaksanaan Program CelO,”katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen CeIO kali ke-11 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azam menegaskan Program CelO bukan sekadar program latihan, tetapi merupakan pelaburan strategik jangka panjang negara dalam membina sistem tatakelola yang telus, beretika dan bebas rasuah.

Azam berkata, setiap graduan CelO yang ditauliahkan diberi tempoh sah pentauliahan selama dua tahun.

Ujarnya, penetapan tempoh ini bukan sekadar bersifat pentadbiran, tetapi mencerminkan satu mekanisme kawalan kualiti yang memastikan kelangsungan kredibiliti dan kecekapan CelO sentiasa berada pada tahap yang tertinggi.

“Dengan adanya sistem semakan dan penilaian secara berkala, CelO didorong untuk kekal aktif, relevan dan kompeten dalam melaksanakan tanggungjawab dalam organisasi masing-masing.

“Proses pelanjutan pentauliahan ini adalah bukti jelas bahawa kelangsungan CelO tidak berlaku secara automatik, tetapi melalui penilaian profesional yang tersusun dan berintegriti,”katanya.

Sementara itu, seramai 586 peserta terdiri daripada pegawai sektor awam syarikat berkepentingan kerajaan (SBK) serta sektor swasta telah diraikan dalam istiadat konvokesyen itu.

Pada majlis tersebut, peserta dikurniakan sijil pentauliahan terdiri daripada mereka yang menghadiri 12 siri latihan CeIO mengandungi empat modul utama yang dilaksanakan secara terbuka dan in-house sepanjang 2023 dan 2024 oleh Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA).

Empat modul utama tersebut adalah Pengurusan Integriti dan Perundangan; Pengurusan Aduan, Pengesanan dan Pengesahan, dan Tatatertib; Pematuhan, Pengukuhan Integriti dan Tadbir Urus; dan Pembentukan Pelan Integriti dan Pengurusan Risiko Rasuah.

Program CeIO telah bermula pada 2010 selaras dengan arahan Perdana Menteri No. 1 Tahun 2009 dimana sehingga kini telah melatih seramai 2,851 pegawai.

CelO berperanan dalam merancang, melaksana serta memantau keberkesanan program integriti dan juga sebagai pemangkin membudayakan kerja berintegriti, mencegah rasuah dan penyelewengan termasuk salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam.- https://amiminerals.org/