SPM di KL, berlumba di Seremban

WhatsApp Image 2024 12 08 at 9.11.51 AM

Ahmad Dzaffir ketika melakukan pemeriksaan ke atas motosikal yang ditutup nombor pendaftarannya oleh seorang remaja sempena Op Khas Samseng Jalanan di Plaza Tol Senawang, Seremban.- Foto oleh NOR AINNA HAMZAH

SEREMBAN – Seorang remaja lelaki yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Kuala Lumpur antara penunggang motosikal yang dikesan dalam Op Khas Samseng Jalanan di Tol Senawang, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, remaja tersebut bersama rakannya juga dari penempatan yang sama telah menutup nombor pendaftaran motosikal masing-masing bertujuan untuk berlumba haram di lebuhraya di negeri ini.

“Operasi telah berjalan sejak pukul 11 malam tadi sehingga pukul 12.30 tengah malam. Lebih 100 motosikal telah ditahan dan ada juga motosikal dah diubahsuai, ada juga motosikal yang telah ditutup nombor pendaftaran kenderaan dipercayai untuk mengelirukan dan mengaburi mata pihak berkuasa.

“Tumpuan di Seremban hingga ke Nilai dan Port Dickson yang mempunyai lebuhraya. Setiap minggu memang ada tangkapan dan juga sitaan terhadap penunggang motosikal yang dipercayai melakukan kesalahan undang-undang dan berlumba.

“Rata-rata yang ditahan adalah berusia 16 hingga 18 tahun. Seperti mana yang kami temuramah tadi, datang dari Ampang (Kuala Lumpur) atas alasan nak makan. Daripada operasi yang dijalankan, ada yang datang bersama kawan, berkonvoi dan datang seorang diri sambil merempit,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Op Khas Samseng Jalanan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan melibatkan seramai 15 pegawai dan 77 anggota di Plaza Tol Senawang, Seremban.- https://amiminerals.org/