GEORGE TOWN – Suami kepada wanita yang maut ditikam seorang lelaki di sebuah pangsapuri di Farlim, Ayer Itam di sini kelmarin mengesahkan yang mangsa masih isterinya yang sah sekali gus menepis dakwaan yang mereka telahpun bercerai.
Mohamad Shazwan Hafizi Badrul Kamal, 30-an berkata, dia amat terkesan dengan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan isterinya, Siti Zulaila Zulkifli, 30, seorang janda.
“Bila ramai fitnah kata arwah janda, saya sedih. Dia isteri saya dan saya adalah suaminya yang sah.
“Saya sedih dengan kejadian ini, ditambah pula dengan dakwaan tidak sepatutnya, buatkan kami sebagai keluarga sangat terkesan,”katanya di sini malam tadi.
Dalam pada itu, menurut bapa kepada tiga anak itu, dia mahu pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap si pelaku.
“Saya harap pihak berwajib kenakan tindakan undang-undang terhadap dia,”ujarnya lagi.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 12.54 tengah hari Khamis lalu, Siti Zulaila, 30, dan bapanya, Zulkifli Ibrahim, 62 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas ditikam suspek menggunakan sebilah pisau. – https://amiminerals.org/