KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melaksanakan ujian secara menyeluruh untuk semua sistem saliran di sekitar Kuala Lumpur memandangkan ia dipercayai berusia melebihi 30 tahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, usaha itu akan dilakukan dengan kerjasama kementerian dan agensi yang berkaitan.
“Kita sedia maklum, kebanyakan pembangunan di Kuala Lumpur ini seperti sistem saliran dan perparitan berusia lebih 30 tahun. Jadi, kita memang perlu melakukan ujian untuk semua sistem saliran di sekitar Kuala Lumpur.
“Kita akan bekerjasama dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air (Petra), Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau lokasi kejadian longkang runtuh yang menyebabkan lubang besar di Jalan Pantai Permai, Kampung Kerinchi, di sini hari ini.
Mengulas mengenai kejadian tersebut, Zaliha berkata, insiden itu berlaku ekoran paip IWK pecah sehingga mengakibatkan tanah di sekitar kawasan itu rapuh.
“Insiden ini menyebabkan longkang itu (runtuh) dan membentuk lubang besar. Tindakan segera akan diambil oleh DBKL untuk memastikan parit ini diperbaiki secepat mungkin.
“Paling utama, paip IWK itu akan diperbaiki dahulu dan kemudian kawasan sekitarnya. Kita jangka proses (baik pulih) dalam masa tiga minggu untuk kita selesaikan perkara ini,” jelasnya.
Pada masa sama, Zaliha mengulangi jaminan bahawa Kuala Lumpur masih selamat meskipun berlaku beberapa insiden mendapan tanah dan longkang runtuh.
Zaliha bagaimanapun menasihati orang ramai agar berhati-hati di kawasan kejadian terutama Jalan Masjid India bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
“Polis Diraja malaysia (PDRM) sedang memperketatkan kawalan bagi menjamin keselamatan orang ramai di kawasan terbabit,” jelasnya. – Iteenews