JOHOR BAHRU – Kegiatan satu kumpulan sindiket menjalankan bisnes haram mengedar dan menjual Kad Pemastautin Tetap Malaysia palsu kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) tumpas apabila 13 individu diberkas dalam beberapa siri serbuan di Kulai, Seri Alam di sini serta Kajang, Selangor.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, dalam serbuan yang dijalankan bermula 16 hingga 18 November lalu itu, pihaknya menahan enam lelaki tempatan termasuk dua dalang utama serta tujuh lelaki warga asing berusia 27 hingga 44 tahun.
“Siasatan mendapati sindiket terbabit bergerak aktif secara kumpulan kecil sejak September tanpa melibatkan mana-mana anggota atah pegawai daripada agensi kerajaan.
“Sindiket ini menawarkan bayaran RM7,000 bagi sekeping kad dan menyasarkan warga asing yang masuk secara haram dan tinggal lebih masa di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kumar berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas kad palsu serta peralatan yang dipercayai untuk membuat Kad Pemastautin Tetap palsu.
Antaranya ialah sembilan keping Kad Pemastautin Tetap disyaki palsu, satu kad pengenalan palsu, gambar berukuran pasport (9), telefon bimbit (10), cop logo agensi kerajaan palsu (3), komputer riba (2), mesin pencetak (2) serta mesin laminate.
Katanya, susulan tangkapan itu, dua lelaki tempatan iaitu dalang utama akan dituduh di Mahkamah Majistret Kulai hari ini.
Seorang suspek akan dituduh mengikut Seksyen 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1959 kerana memiliki kad pengenalan palsu.
Seorang lagi pula akan dituduh mengikut Seksyen 89 Akta Polis kerana memiliki cop getah logo PDRM tanpa kebenaran.
“Empat lagi warga tempatan dijadikan saksi pendakwaan manakala bagi tujuh lelaki warga asing siasatan masih dijalankan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya. -https://amiminerals.org/
Habis//