SHAH ALAM – Sistem ‘fleet card’ bagi pembelian diesel yang diperkenalkan kerajaan telah dimanipulasi sindiket bagi memperoleh keuntungan mudah dalam penyelewengan bahan api itu.
Perkara tersebut terbongkar menerusi serbuan dilakukan kira-kira pukul 7 malam tadi di sebuah premis tidak bernombor di Taman Sri Muda di sini.
Sepanjang serbuan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor bersama Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor merampas 11 fleet card pelbagai syarikat pengeluar minyak selain menahan lima suspek lelaki berusia 30 hingga 45 tahun.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd. Zuhairi Mat Radey berkata, risikan dilakukan selama sebulan dengan semasa serbuan terdapat sebuah lori tangki dengan kapasiti muatan berat 30 tan di premis haram itu.
Katanya, lori tangki tersebut didapati mempunyai hos sambungan dengan lori bonded yang telah diubah suai mempunyai tangki Intermediate Bulk Container (IBC) dipercayai tempat menyimpan bahan berisi diesel.
“Secara keseluruhan terdapat sembilan kenderaan termasuk van dan kepala lori (prime mover) yang telah diubah suai tangkinya.
“Daripada jumlah itu, lima buah lori dengan mempunyai keseluruhan 14 tangki IBC,”katanya pada sidang akhbar di lokasi serbuan di sini malam tadi.
Beliau memberitahu, turut disita adalah diesel dengan anggaran kira-kira 7,000 liter ditemui di dalam tangki IBC tersebut selain peralatan pemindahan diesel subsidi secara haram itu.
Tegasnya, modus operandi dipercayai digunakan adalah pemandu lori tersebut memiliki fleet card bagi kemudahan membeli bahan api diesel pada harga subsidi di stesen minyak dipercayai sekitar daerah ini.
Difahamkan, satu fleet card boleh digunakan bagi pembelian sehingga 7,000 liter.
“Hasil daripada pembelian minyak diesel menggunakan Fleet Card kemudiannya dibawa ke premis untuk transit di premis itu.
“Sindiket kemudiannya menjalankan aktiviti pemindahan atau menyedut keluar diesel daripada tangki IBC dalam lori bonded ke lori tangki,”katanya.
Pemerhatian Kosmo! mendapati satu daripada sebuah lori telah selesai menjalankan aktiviti haram itu manakala sebuah lori dalam proses pemindahan.
Jelas Mohd. Zuhairi, diesel subsidi yang telah dipindahkan akan dijual di pasaran gelap.
“Kita percayai fleet card diperolehi dan dimohon secara sah namun telah menyalahgunakannya. Jadi, kita akan siasat rantaiannya termasuk penglibatan syarikat minyak dan dalangnya.
“Ini adalah kes berkaitan fleet card terbesar tahun ini. Kes disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,”katanya. – https://amiminerals.org/