BANGKOK – Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) Thailand membanteras aktiviti pengedaran dadah rentas negara melibatkan warga Thailand dan Malaysia, lapor portal berita Thaiger semalam.
ONCB berkata, operasi yang dijalankan di wilayah Songkhla, selatan Thailand membawa kepada penahanan dua suspek warga Thailand dan rampasan 261 kilogram kristal methamphetamine (ice).
Pengarah Penguatkuasaan Undang-undang Narkotik ONCB, Prin Mekanandha mengesahkan operasi dilakukan pada 24 April lalu dan hasil kerjasama antara pihak berkuasa Thailand dan agensi penguatkuasaan antarabangsa.
Matlamatnya adalah untuk mengekang rangkaian pengedaran dadah yang beroperasi antara selatan Thailand dan Malaysia.
“ONCB telah menjejaki sindiket dadah terbabit selama lebih sebulan dengan kerjasama rapat pihak berkuasa Malaysia,” kata Prin dalam satu sidang akhbar.
Menurutnya, siasatan menunjukkan semua dadah itu disimpan buat sementara waktu di Songkhla sebelum dibawa ke Narathiwat, selatan Thailand.
Ia kemudian diseludup merentasi sempadan ke Malaysia untuk diedarkan ke negara-negara lain.
Pihak berkuasa kedua-dua negara mengesyaki dadah itu berasal dari kawasan Segi Tiga Emas melibatkan Myanmar, Laos dan Thailand.
Kedua-dua suspek warga Thailand yang ditahan mengaku mereka diupah untuk mengangkut dadah tersebut.
Mereka juga mengaku pernah menyeludup satu juta pil methamphetamine merentasi sempadan Malaysia yang mana mereka dibayar upah 120,000 baht (RM15,000). – AGENSI