Simpanan bapa lebih RM158,000 lesap ditipu skim kerja palsu

mangsa scammer

Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU – Seorang suri rumah berputih mata kerugian RM158,498.89 akibat diperdaya skim pekerjaan tidak wujud.

Tambah menyedihkan mangsa berusia 30 tahun itu, wang yang diperdaya oleh sindiket penipuan tersebut merupakan simpanan bapanya yang sepatutnya digunakan sebagai modal pusingan perniagaan keluarga.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, wanita tersebut berminat terhadap iklan tawaran kerja dalam talian yang dilihatnya pada 9 Mei lalu.

“Sebaik menekan pautan diberikan, mangsa terus disambung ke dalam kumpulan WhatsApp sebelum diberi penerangan berhubung kerja sambilan terbabit.

“Dia dijanjikan komisyen 10 peratus setiap kali melakukan tugasan membantu meningkatkan rating (penilaian) hotel tertentu,”katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, pada peringkat awal, suri rumah terbabit menerima komisyen dijanjikan selepas memberikan tangkap layar gambar bilik hotel terlibat setelah tugasan diselesaikan.

Beliau berkata, begitupun, wanita tersebut diarah membuat pembayaran setiap kali melakukan tugasan baharu selepas itu.

“Mangsa membuat pembayaran keseluruhan RM158,498.89 secara berperingkat ke dalam sembilan akaun bank berasingan.

“Bagaimanapun wanita tersebut tidak mendapat komisyen dijanjikan menyebabkan dia rasa tertipu,”katanya. – https://amiminerals.org/