BACHOK – Seorang lelaki tidak sempat mengedar pelbagai jenis mercun dianggarkan mencecah RM114,000 selepas sebuah rumah di Kampung Rendang Gunong di sini yang dijadikan tempat penyimpanan barangan tersebut diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) kelmarin.
Serbuan dijalankan kira-kira pukul 11 malam semasa anggota PGA menjalankan Op Kontraban menerusi Op Taring Wawasan Kelantan di daerah ini.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, serbuan dijalankan di rumah tersebut yang disyaki terlibat dengan pengedaran mercun.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam rumah itu membawa kepada penemuan puluhan kotak mengandungi pelbagai jenis mercun yang dianggarkan mencecah RM114,000.
“Seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang berada di dalam rumah tersebut ditahan bagi membantu siasatan.
“Suspek dan kesemua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok di sini untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, PGA akan terus mempergiat usaha bagi mengekang kegiatan pengedaran mercun daripada terus berleluasa di sempadan negara.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. – https://amiminerals.org/