KUALA LUMPUR- Kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak Tiga Hala melibatkan blok ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China yang julung kali diadakan disifatkan memberi terjemahan kepada kepercayaan bagi memperluaskan kerjasama strategik antara negara terlibat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sidang kemuncak itu melambangkan kejayaan dalam menyusun semula kerjasama serantau yang mencerminkan realiti penguasaan kuasa ketika ini.
“Ia juga menggambarkan kekuatan perpaduan blok serantau yang pastinya memberi kesan positif kepada dunia secara keseluruhan.
“Paling utama, kita mesti terus memelihara sistem multilateral dan memastikan bahawa model geoekonomi ASEAN-GCC-China kekal memainkan peranan signifikan dalam membentuk masa depan lebih inklusif dan mampan untuk rantau dan rakyat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 (Pleno) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Anwar berkata, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN mengetengahkan tema Inklusiviti dan Kemampanan yang merupakan satu pendekatan strategik dan berteraskan nilai-nilai murni.
“Tema ini bukan sekadar melambangkan aspirasi kita, malah ia adalah satu tanggungjawab bersama.
“Ia berlandaskan keyakinan bahawa masa depan ASEAN perlu berpaksikan pada dua tonggak utama iaitu pertumbuhan yang saksama dan mampan serta daya tahan jangka panjang,” katanya.
Menurut Anwar, prinsip itu mesti diterapkan secara mendalam dalam agenda dan wawasan ASEAN.
“Malaysia amat menghargai sokongan semua pihak dalam memastikan bahawa kepengerusian kita berjaya memacu visi bersama ini,” katanya.
Jelas Anwar, bagi ASEAN keamanan, kestabilan dan kemakmuran blok ini sering bergantung kepada sistem antarabangsa berasaskan peraturan terbuka, inklusif dan menyokong aliran bebas perdagangan, modal dan pergerakan rakyat.
Namun, jelasnya, asas-asas terlibat kini sedang diancam oleh tindakan diluar jangka.
“Namun begitu, saya tetap percaya kepada keteguhan dan daya tahan ASEAN dalam menghadapi badai serta cabaran yang tidak menentu ini.
“Dengan berpegang kepada prinsip kesejagatan dan keyakinan untuk menentukan hala tuju kita sendiri, ASEAN mampu kekal relevan dan mendahului perubahan global,” jelasnya. – https://amiminerals.org/