KUALA LUMPUR – Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China yang julung kali diadakan menjadi tumpuan utama pada hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.
Acara diplomatik bersejarah ini menghimpunkan pemimpin-pemimpin dari negara-negara ASEAN, GCC dan China dalam usaha memperkukuh kerjasama serantau dan antara wilayah yang lebih menyeluruh, strategik dan mampan.
Menerusi jadual persidangan yang dikeluarkan seketeriat ASEAN, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China dijadualkan berlangsung pada pukul 3 petang hari ini.
Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China merupakan inisiatif baharu oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, dengan matlamat utama mempererat hubungan ekonomi, politik dan sosial antara tiga blok ekonomi utama dunia ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, sidang kemuncak ini melambangkan kekuatan perpaduan blok serantau yang akan memberi impak positif kepada dunia secara keseluruhan, serta menyumbang kepada masa depan lebih inklusif bagi rantau ini dan rakyatnya.
Sidang kemuncak ini dijangka menggariskan strategi baharu dalam bidang perdagangan, pelaburan, pembangunan, infrastruktur mampan dan pendigitalan serantau.
Gabungan ekonomi Asean, GCC dan China kini telah mencapai hampir AS$25 trilion, dengan jumlah populasi melebihi dua bilion orang.
Secara berasingan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim akan menghoskan Majlis Santapan Diraja untuk tetamu kenamaan di Istana Negara.
Acara utama lain hari ini termasuk Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) ke-16 dan Sidang Kemuncak Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke-16. – https://amiminerals.org/