PUTRAJAYA-Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu segala keputusan penting dalam mesyuarat Jemaah Menteri mesti disampaikan dengan jelas kepada semua rakyat terutama dalam kalangan penjawat awam.
Perdana Menteri menegaskan, keputusan kerajaan itu jangan hanya dibincangkan di peringkat tertinggi, tetapi ia tidak sampai ke akar umbi.
Katanya, tindakan itu boleh menyebabkan keresahan dalam kalangan penjawat awam khususnya dan rakyat keseluruhannya.
Sebagai contoh, kata beliau, kerajaan melaksanakan reformasi perkhidmatan awam menerusi penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Iltizam Kecekapan Pentadbiran Awam yang akan dibahaskan minggu ini dan ia harus diteliti oleh semua penjawat awam.
“Saya minta Ketua Setiausaha Negara sampaikan (RUU ini) dan saya percaya sudah pun dimaklumkan kepada penjawat awam, tetapi kalau boleh dihebahkan lagi kerana di antara pandangan saya yang saya tegur minggu lalu dalam mesyuarat Kabinet ialah kadang-kadang keputusan ini tidak sampai ke bawah.
“Jadi, di bawah itu ada keresahan, keputusan kita dalam Jemaah Menteri itu patut disampaikan dan segala tindakan harus disampaikan bukan sahaja dalam mesyuarat pasca Kabinet, tetapi yang dipengerusikan oleh Menteri, Ketua Setiausaha (KSU) dan Ketua Jabatan, ia tidak hanya terikat dengan urusan jabatan mereka sahaja.
“Iltizam kecekapan perkhidmatan awam itu harus difaham kerana ia terkait dengan tiap tugas penilaian proses kerja, SOP setiap penjawat awam,” katanya ketika berucap pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bulan Mac 2025, di sini hari ini. – https://amiminerals.org/