PETALING JAYA – Seramai 10 individu ditahan dipercayai terlibat dengan sindiket kiriman wang
haram ke luar negara selepas pihak berkuasa menyerbu beberapa lokasi di sekitar Klang dan Brickfields kelmarin.
Operasi khas Jabatan Imigresen (JIM) dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) itu bermula kira-kira pukul 3.45 petang melibatkan tiga lokasi di Klang serta satu Brickfields.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakarian Shaaban berkata, serbuan tersebut hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu itu berjaya menahan lapan lelaki warga India termasuk dalang sindiket serta dua wanita warga Indonesia berusia lingkungan 21 hingga 57 tahun.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap kesemua premis tersebut, pasukan operasi telah merampas wang tunai berjumlah RM3,627,643.00, mata wang asing Euro 1,400.00, Yuan 10,000.00 dan barangan perhiasan yang dipercayai emas disyaki hasil aktiviti pengiriman wang haram.
“Modus operandi sindiket adalah menawarkan perkhidmatan pengiriman wang tanpa lesen yang sah dan menyasarkan warganegara Indonesia dan India sebagai pelanggan.
“Sindiket ini menjalankan kegiatan mereka di sebalik kedai runcit dan kedai makan bagi mengaburi pihak berkuasa. Sindiket ini dipercayai menerima RM15,000 hingga RM60,000 sehari dan boleh mencecah sehingga RM110,000 pada musim perayaan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Zakaria berkata, wang terbabit akan dihantar ke luar negara terutama negara Indonesia dan India.
“Sindiket tersebut dipercayai menggunakan barangan kemas yang dibawa ke luar negara sebagai proses penghantaran kiriman wang haram tersebut, tanpa melalui lingkungan sistem perbankan atau syarikat kewangan rasmi. Sindiket ini beroperasi selama satu tahun,”ujarnya.-https://amiminerals.org/