Serang wanita di surau: Polis buka dua kertas siasatan

polis logo polis

GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Polis membuka dua kertas siasatan berhubung kes lelaki menyerang dua wanita di kawasan Surau Al-Ehsaniah Ahmadiah berhampiran Sekolah Rendah Agama (SRA) di Kelana Jaya, di sini, Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden M. Hussein Sollehuddin Zolkifly berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya menahan dua suspek dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

Katanya, tangkapan dibuat Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Petaling Jaya dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor pada pukul 1.30 pagi tadi di sebuah rumah di Kajang.

“Tangkapan membabitkan lelaki berusia 46 dan 55 tahun. Semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai enam rekod jenayah kes samun dan curi.

“Kedua-dua tangkapan juga positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Reman terhadap kedua-dua suspek diperoleh selama tujuh hari bermula hari ini. Siasatan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh serta Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sabtu lalu, Kosmo! melaporkan polis merakam keterangan tujuh individu termasuk guru besar yang menjadi mangsa serangan itu. Guru besar itu hadir ke IPD Petaling Jaya selepas dibenarkan keluar hospital.

Dua wanita cedera ditikam membabitkan seorang guru berusia 52 tahun dan jurujual wanita berusia 26 tahun.-Iteenews.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *