\’Sepatutnya Aiman bergelar suami Januari depan\’

WhatsApp Image 2024 10 29 at 5.27.05 PM

Mayat Muhamad Aiman Safwan dijumpai pemancing di kawasan pantai yang menjadi laluan ke Pulau Sayak dekat Kota Kuala Muda, hari ini.

SUNGAI PETANI – “Anak saya bersungguh-sungguh buat persiapan perkahwinan, namun hasratnya untuk mendirikan rumah tangga tidak kesampaian”

Demikian luah Rosnah Razali, 48, ibu kepada pemuda, Muhamad Aiman Safwan Mahadzir, 25, yang ditemui mati lemas akibat dihanyutkan arus deras di muara Sungai Muda di Kota Kuala Muda, dekat sini kelmarin.

Mayat anak sulung daripada tiga beradik itu dijumpai terdampar di kawasan pantai yang menjadi laluan ke Pulau Sayak, dekat sini oleh pemancing kira-kira pukul 11.50 pagi tadi.

Katanya, dia sedih terkenangkan kesungguhan arwah membuat persiapan termasuk membayar duit sewa khemah kenduri kahwin menggunakan duit simpanannya sendiri.

“Saya sedih kerana hajatnya bergelar raja sehari tidak kesampaian,”katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini hari ini.

Menurut Rosnah, dia kini hanya mampu berdoa agar diberi kekuatan untuk menghadapi ujian itu ketika hampir separuh persiapan perkahwinan arwah telah disediakan.

“Mungkin saya akan rasa sedih dan teringatkan arwah apabila melihat baju pengantin dan beg cenderamata untuk majlis kenduri pada Januari tahun depan,”ujarnya.

Tambahnya, arwah anaknya yang merupakan pekerja kilang seorang yang baik, mendengar kata dan disayangi semua termasuk rakan-rakannya.

Jenazah Muhamad Aiman Safwan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Teluk Wang, di sini selepas selesai proses bedah siasat. – https://amiminerals.org/