KLUANG – Seorang lelaki maut manakala 14 lagi cedera selepas dua buah kenderaan dinaiki dipercayai ketika berkunjung sempena Hari Raya Aidil Fitri bertembung dalam kejadian di Kilometer 25 Jalan Renggam – Layang-Layang disini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian pukul 8 malam itu melibatkan Kereta Honda Stream yang dipandu seorang wanita berusia 35 tahun dan membawa lapan orang penumpang berumur tiga hingga 21 tahun.
Katanya, kenderaan kedua pula adalah Honda City dipandu Muhammad Amiruddin Kamalruzaman, 29, yang membawa lima orang penumpang berumur satu hingga 60 tahun.
“Siasatan awal mendapati Kereta Honda Stream dalam perjalanan dari arah Renggam ke Layang-Layang manakala Honda City dari arah bertentengan.
“Ketika sampai di lokasi, kereta Honda Stream yang dipandu seorang wanita itu dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentengan sebelum berlaku pertembungan dengan kereta Honda City,”katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Bahrin lagi, akibat daripada pertembungan kedua-dua kenderaan tersebut, semua pemandu dan penumpang telah mengalami kecederaan dibeberapa bahagian sebelum dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.
Ujarnya pemandu kereta Honda City, Muhammad Amiruddin Kamalruzaman yang mengalami kecederaan parah di muka dan kepala bagaimana pun disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Wad Kecemasan hospital sama.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan dipercayai kenderaan hilang kawalan dan memasuki laluan bertentengan sebagai punca kejadian,”katanya. – https://amiminerals.org/