TELUK INTAN – Kesemua sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 Ipoh yang maut dalam nahas membabitkan lori muatan pasir di Jalan Chikus-Sungai Lampam di sini hari ini, dihantar ke Unit Forensik Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat.
Antara mangsa yang maut ialah Sarjan S. Perumal, Koperal Nurit Pandak, Koperal Amiruddin Zabri, Koperal Mohd. Pozli Jaudin, Koperal Akmal Muhamad, Koperal Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif dan Konstabel Akmal Wafi Annuar.
Sembilan mangsa lain yang cedera turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan. Difahamkan, pemandu lori muatan pasir selamat dan kini berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak untuk siasatan.
Terdahulu, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kejadian berlaku ketika kenderaan membawa anggota itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan perayaan Chitrapournami di daerah Hilir Perak.
Katanya, ketika sampai di lokasi kejadian, kenderaan pasukan telah dirempuh sebuah lori muatan pasir yang mengalami kegagalan fungsi stereng dengan sembilan anggota termasuk pemandu lori FRU meninggal dunia di tempat kejadian.
“Lima anggota cedera parah manakala empat yang lain cedera ringan. Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Teluk Intan,”katanya di sini hari ini. – https://amiminerals.org/