PASIR MAS – Sembilan tuan tanah di negeri ini dikompaun oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan selepas melakukan pembakaran terbuka sepanjang Januari hingga hari ini.
Pengarahnya, Wan Aminordin Wan Kamaruddin berkata, kesemua mereka dikompaun sebanyak RM2,000 setiap seorang.
“Kita kompaun pemilik tanah itu mengikut kesalahan Pembakaran Terbuka di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) (Pindaan) 2024,” katanya ditemui pemberita selepas program Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2024 peringkat negeri Kelantan di Masjid Al-Hanan Tendong di sini hari ini.
Program itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah.
Sementara itu, Hilmi berkata, penduduk di Kelantan juga diingatkan supaya tidak menjadikan sungai sebagai tempat perlupusan sampah.
Katanya, masih banyak kawasan kampung yang bergantung kepada sungai bukan sahaja sebagai sumber air, tetapi sumber makanan dan pendapatan.
“Apabila berlaku pencemaran sungai, ia boleh memudaratkan kesihatan kepada penduduk yang tinggal di sepanjang sungai terbabit,” ujarnya. – https://amiminerals.org/