JERANTUT – Seorang ibu tunggal yang mengharapkan hasil jualan roti canai hilang pendapatan dalam sekelip mata selepas menghidap kanser usus tahap empat.
Aryati Talib, 52, yang tinggal di Perumahan Simpang Ibul Tunggal, Pulau Tawar, di sini berkata, dia kini hanya terlantar di rumah selepas dikesan menghidap kanser pada April lalu.
Katanya, suaminya, Anuar Noh meninggal dunia pada 16 September 2023 akibat kanser hidung dan mulut.
“Selepas ketiadaan suami, saya perlu bekerja menebar roti canai untuk menampung kehidupan termasuk persekolahan dua anak ketika itu.
“Bagaimanapun, selepas lebih 10 tahun berniaga, saya terpaksa tutup kedai akibat penyakit ini sehingga saya tiada langsung pendapatan harian,” katanya semalam.
Menurutnya, dia telah menjalani pembedahan membuang kanser itu pada 4 Jun lalu dan kini hanya terlantar di atas katil dengan dibantu dua anak kembarnya, Amar dan Amir yang berusia 26 tahun.
Katanya, kanser tersebut telah merebak ke bahagian anggota badan lain yang menyaksikan dia menjalani pembedahan membuang benjolan di bahu kiri pada 5 Julai lalu.
“Sehingga kini saya terpaksa berulang alik seminggu sekali ke hospital untuk rawatan.
“Saya sudah membelanjakan wang simpanan sebanyak RM15,000 untuk pengangkutan, menyediakan beg stoma, lampin pakai buang, susu tepung dan beberapa keperluan kebajikan lain.
“Setiap bulan saya perlu menyediakan beg stoma dengan perbelanjaan hampir RM200, susu tepung berharga RM1,000, lampin pakai buang, tisu basah dan menyediakan barang keperluan dapur untuk anak, bil elektrik dan air,” katanya.
Tambahnya, dia hanya berharap bantuan dua anak kembarnya yang bekerja kampung untuk menguruskan kehidupannya selain bagi menampung keperluan hariannya.
Sesiapa yang ingin membantu boleh menghubungi Aryati Talib di talian 013-2928664 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0699541100130265.