Selebriti nyanyi sumbang, kutukan jadi habuan

WhatsApp Image 2024 11 08 at 4.27.32 PM

ANTARA penyanyi yang pernah dikecam kerana lantunan vokal mereka tidak memuaskan.

SELAIN kes perceraian yang menjadi perhatian, nyanyian pelakon Fazura turut diperkatakan ramai dalam media sosial sejak beberapa hari lalu.

Persembahan dalam program temu bual di Indonesia semasa mempromosikan single baharu Bertahan Demi Cinta dikritik sumbang sehingga menjadi sohor kini.

Rata-rata memberikan komen kurang senang mengenai kualiti vokal dan penyampaian pemilik nama lengkap Nur Fazura Sharifuddin menyampaikan karya ciptaan Ippo Hafiz itu.

HibGlam minggu ini merangkumkan beberapa lagi selebriti lain yang pernah dikecam gara-gara nyanyian tidak memuaskan.

AMY SEARCH 1 1 scaled

Amy Search

DATUK Amy pernah dikatakan tidak mampu lagi menyanyi dengan baik disebabkan faktor usia.

Terbaharu, beliau sekali lagi dikecam semasa menyanyikan lagu Pawana di Konsert Search Symphonic Live In Kuala Lumpur apabila ramai mendakwa penyanyi itu gagal membawakan karya tersebut dengan baik.

Namun, Amy kekal tenang menghadapi kritikan tersebut dan mengakui tidak membaca semua komen yang ditulis netizen selain menganggap kecaman adalah perkara lumrah anak seni.

SYAFINAZ SELAMAT 1

Syafinaz Selamat

BIARPUN bergelar seorang guru vokal, penyanyi Datuk Syafinaz Selamat tidak mampu lari daripada kecaman netizen berhubung kualiti vokalnya.

Semuanya berlaku selepas dia menyanyikan lagu Persis Salju dan Europa apabila netizen tidak memahami sebutan lagu Europa selain mendakwa vokalnya kurang ‘sedap’.

Bagaimanapun, Syafinaz, 51, enggan cepat melatah dengan kritikan yang diterima dan menganggap perkara tersebut asam garam dalam karier.

Dalam masa sama, dia memaklumkan masih belajar vokal kerana baginya menuntut ilmu tidak pernah kenal batasan usia.

THE GADYS 1 scaled

The Gadys

TIBA-TIBA sahaja nama kumpulan Gadys dikenali ramai selepas tular video nyanyian sumbang semasa menyampaikan lagu medley Cintaku Sampai Ke Ethiopia, Cinta Sampai Mati dan Gadis dan Bunga.

Pihak pengurusan kumpulan wanita itu, Universal Music Malaysia dan Valient Music tampil menjelaskan berlaku kesilapan teknikal ketika persembahan mereka pada Anugerah KNKV Viral Award 2024 sehingga kedengaran serba tidak kena.

Meskipun menerima kecaman hebat, ketiga-tiga ahli The Gadys iaitu Aznie Azmi, Ayunie Rizal dan Thamiera Cahn tidak berputus asa, sebaliknya meluncurkan lagu raya berjudul Cuti Raya.

UTU NUHANAUFAL003 scaled

Nuha Bahrin

MUNCUL dalam sebuah rancangan realiti Vokal Mania pada tahun 2020, penyanyi Nuha Bahrin tidak henti menerima kecaman netizen apabila nyanyiannya dianggap menyakitkan telinga.

Nuha, 24, mengakui terlalu gementar ketika menyampaikan lagu Kekasih Awal & Akhir nyanyian asal Datuk Jamal Abdillah dan Di Matamu (Sufian Suhaimi).

Empat tahun kemudian, dia sekali lagi dikecam kerana dikatakan menyanyi sumbang mendendangkan lagu hitsnya, Casablanca secara solo tanpa ditemani rakan duet, Naufal Azrin.

ASADUAEMPAT004 1 scaled

Nabila Razali

BUKAN sekali dua tetapi tidak terkira berapa kali penyanyi Nabila Razali dikecam berkenaan nyanyiannya yang dikatakan sumbang.

Dia sering dikritik kerana gagal melontarkan nada tinggi sehingga ada yang meminta pemilik nama lengkap Nur Nabila Mohd. Razali memilih lagu sesuai dengan vokalnya.

Kendatipun, vokal penyanyi berusia 31 tahun itu menerima pujian selepas berjaya membawakan lagu Selagi Ku Ada di pentas Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) duet bersama Khai Bahar dengan cemerlang.