Selangor perkemas Enakmen LUAS hukum pencemar

WhatsApp Image 2025 05 13 at 2.06.02 PM

Amirudin ( kanan depan) ketika meninjau pakej A SJAM, hari ini. – Foto AFIQ RAZALI / KOSMO!

KUALA SELANGOR – Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan diperkemaskan agar pencemar alam sekitar dapat dihukum termasuk denda sehingga RM1 juta dan mandatori penjara tidak lebih tiga tahun.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini termasuk menambah nilai yang membolehkan penguatkuasaan kerajaan negeri melakukan siasatan menyeluruh termasuk pendakwaan.

Katanya, walaupun punca pencemaran dikenal pasti namun kelemahan dari segi pembuktian menyebabkan ramai pesalah terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Pencemaran bau sebagai contohnya mengambil masa sampai ke empangan Selangor antara 18 hingga 24 jam.

“Maknanya, kalau apa-apa berlaku di Batang Kali memerlukan 15 hingga 16 jam sampai sini dan bukti telah terhapus. Itu antara cabaran kita hadapi.

“Kadang-kadang pencemaran kita kesan tetapi kita tidak dapat punca tetapi sudah berhenti sebab tuan punca agak ‘bertanggungjawab’ dia stopkan. Jadi, kita dapat tangani namun yang sayangkan kita tidak dapat tangkap dan dakwa,”katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan Projek Skim Jaminan Air Mentah Pakej A dan C di sini hari ini.

Amirudin mengakui setakat ini tidak ramai pencemar yang didakwa di bawah pindaan Enakmen LUAS yang telah diluluskan ini kerana proses pendakwaan dibawah Pendakwa Raya.

“Sebahagiannya memang didakwa atas Akta Alam Sekitar dan juga ada beberapa undang-undang yang ada dalam negara. Siasatan dilakukan. Proses pendakwaan dibuat oleh pendakwa raya.

Pendakwa raya mempunyai kebijaksanaan yang tersendiri. Kenapa akta ini digunakan. Kenapa
peraturan ini digunakan berbanding dengan enakmen. Setakat ini belum ada siapa-siapa yang digunakan (untuk pertuduhan dibawah) enakmen itu,”jelasnya.

Jelasnya, proses pembuktian mengambil satu beban yang agak tinggi untuk kita buktikan.

“Itu memanglah kalau tak sistem keadilan kita tak baiklah. Kita kena buktikan. Walaupun nampak ada yang terlepas, tetapi keberhatian kita dalam mengambil tindakan itu
perlu dilakukan,”katanya. – https://amiminerals.org/