Segerakan perancangan ekonomi pertanian negara – Rafizi

WhatsApp Image 2024 11 02 at 3.55.22 PM

Rafizi (tiga dari kiri) dan Anwar (tengah) ketika Majlis Sambutan Jubli Intan 75 tahun DOSM di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth Arena, Pulau Pinang hari ini

SEBERANG PERAI – Kementerian Ekonomi yakin Banci Pertanian 2024 akan menjadi penggerak utama dalam memastikan perancangan serta pelaksanaan untuk membangunkan ekonomi berasaskan pertanian di negara ini dapat dilaksanakan segera.

Menterinya, Rafizi Ramli berkata, Banci Pertanian 2024 yang diusahakan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah melabuhkan tirainya dan sekarang berada di peringkat analisis serta akan dibentang ke peringkat kerajaan dalam masa terdekat.

“Kali terakhir negara melakukan banci pertanian adalah pada 2005, selama 20 tahun kita merancang mengenai keterjaminan makanan, sektor guna tenaga pertanian di negara ini berdasarkan satu penanda aras yang tidak pernah disemak selama 20 tahun.

“Malah data awal daripada Banci Pertanian 2024 menunjukkan bahawa kapasiti pertanian negara selama ini pelaporan rasminya adalah sebenarnya lebih rendah daripada yang dilaporkan.

“Kementerian Ekonomi berharap supaya data ini menjadi penggerak utama untuk kita memastikan segala perancangan dan pelaksanaan kita untuk membangunkan semula ekonomi berasaskan pertanian akan dapat dipercepatkan sebaik-baiknya,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Jubli Intan 75 tahun Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth Arena, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, data Banci Pertanian 2024 itu juga merupakan pelengkap maklumat berkaitan parameter utama pertanian sehingga ke peringkat geografi terkecil bagi setiap penduduk di Malaysia.

“Selain mengeluarkan data di peringkat daerah, DOSM juga telah mengorak langkah ke arah mengeluarkan beberapa statistik utama di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Jadi tidak ada alasan untuk wakil rakyat, Ahli Parlimen, ADUN atau pejabat daerah yang tidak tahu keadaan semasa di tempat masing-masing,” katanya. – https://amiminerals.org/