KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) perlu segera melakukan peralihan penggunaan arang batu kepada sumber tenaga yang lain sekali gus mengurangkan impak kepada perubahan iklim.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penggunaan arang batu boleh memberi kerosakan kepada persekitaran dan TNB perlu membuat persiapan bagi peralihan tersebut.
“TNB sekarang dalam rekod cemerlang pelbagai bidang tercabar untuk segera melakukan peralihan dan membuat persiapan.
“Saya ucap tahniah dan terima kasih kepada pengurusan TNB kerana terus merangka melalui penyelidikan rapi dan mencari jalan serta kaedah (dalam memastikan) peralihan tenaga ini berjalan rapi dan berkesan,”katanya berucap pada Sambutan Ulang Tahun ke-75 TNB di sini hari ini.
Beliau juga menyebut mengenai usaha dilaksanakan oleh TNB termasuk Green Building Index dan Green Pathway.
“Ini istilah baharu tak pernah kita dengar dan fikirkan. Ini tuntutan zaman dan kalau mahu Malaysia maju dan berjaya, harus ada keupayaan, kecekalan untuk berubah.
“Bertindak segera, berani dan kita tak boleh mengharapkan negara maju kalau masih berceloteh soal picisan. Tak tumpu ke arah bagaimana menjamin keuntungan ekonomi mampan dan melaksanakan peralihan tenaga dengan berjaya,”katanya.
Berkenaan Malaysia mengambil alih kepengerusian ASEAN pada tahun hadapan, Anwar berkata TNB juga akan memainkan peranan dalam merealisasikan inisiatif Grid Kuasa ASEAN (APG) sekali gus menjadikan negara dan rantau ini sebagai hub utama tenaga bagi masa depan.
Katanya, cabaran itu memastikan inisiatif strategik APG dimeterai bagi meningkatkan bekalan tenaga dan peluang pelaburan.
“Kerajaan sedar pelaburan ini terlalu besar dan sedang memikirkan cara-cara supaya TNB bersama dengan korporat yang lain menjayakan ASEAN grid ini,” katanya. – https://amiminerals.org/