GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekali lagi menegaskan sebarang tuntutan caj air mentah yang diambil Pulau Pinang melalui Sungai Muda, perlu melalui proses mahkamah.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, beliau sendiri telah berulang kali memberi penjelasan mengenai pendirian Pulau Pinang berhubung isu berkenaan di mana kerajaan negeri Kedah sepatutnya memulakan tuntutan berkenaan di mahkamah.
Bagaimanapun katanya, sehingga kini perkara itu tidak dilakukan oleh Kedah sebaliknya tuntutan berkenaan hanya dibuat menerusi percakapan semata-mata.
”Saya tidak pernah menerima surat tuntutan dari mahkamah oleh kerajaan negeri Kedah. Sepatutnya Kedah mulakan tuntutan melalui mahkamah supaya mahkamah dapat putuskan tuntutan ini,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini, kerajaan Kedah dilaporkan akan terus menuntut bayaran caj air mentah dari Pulau Pinang yang ketika ini mengambil 84 peratus sumber airnya dari Sungai Muda, Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria berkata, Pulau Pinang masih gagal membuat bayaran walaupun satu sen kepada Kedah biarpun tuntutan dibuat sejak 2010.
Untuk rekod, Kedah sebelum ini mengemukakan tuntutan bertulis kepada Pulau Pinang untuk mengenakan caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun berikutan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendapat bekalan air dari Sungai Ulu Muda yang berpunca dari Kedah,” katanya. – Iteenews