SETIU – Seorang lelaki berusia 57 tahun maut dipercayai akibat dipatuk haiwan berbisa yang masih belum diketahui spesiesnya di Kampung Payung di sini hari ini.
Mangsa, Abdul Kadir Setapa dikatakan terkena patukan itu sewaktu berada di bilik air rumahnya pada pukul 11 pagi.
Anak saudaranya, Muhamad Rafizal Razali, 31, berkata, dia bergegas ke rumah bapa saudaranya sebaik dimaklumkan mengenai insiden itu oleh isteri mangsa.
“Saya difahamkan bapa saudara (Abdul Kadir) sempat menghubungi isterinya yang sedang bekerja di dewan makan sebuah sekolah berhampiran.
“Ibu saudara kemudian hubungi saya untuk meminta bantuan. Sebaik tiba, saya mendapati bapa saudara dalam keadaan lemah bersandar di kerusi ruang tamu dengan kesan gigitan pada kaki kanan,”katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Muhamad Rafizal memberitahu, dia segera membawa bapa saudaranya ke hospital dengan bantuan rakan sekampung.
Tambahnya, tidak lama kemudiannya salah seorang anak mangsa memaklumkan bapanya yang mempunyai sejarah penyakit jantung dan asma telah meninggal dunia.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, setakat ini punca kematian lelaki tersebut masih belum diketahui.
“Bedah siasat akan dilakukan bagi mengenal pasti punca kematian mangsa. Setakat ini, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,”katanya. – https://amiminerals.org/.