SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tiada wujud unsur dendam atau hasad dengki berhubung rayuan pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kata beliau, setiap banduan mempunyai hak tanpa terkecuali dalam mengemukakan rayuan dan pengampunan.
“Ada yang marah kerana saya bawa kes Datuk Seri Najib untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di- Pertuan Agong.
“Saya dimasukkan dalam penjara semasa zaman Dr. Mahathir dan Datuk Seri Najib, tetapi saya PM tidak boleh berdendam dan hasad dengki.
“Hak setiap orang banduan itu tanpa terkecuali ada hak mengemukakan rayuan, pengampunan,”katanya ketika berucap pada Karnival Flysiswa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.
Anwar menegaskan, beliau menggunakan tanggungjawab yang ada supaya dapat bertindak adil dan mendapat pertimbangan sewajarnya.
“Sebab dia (Najib) salah atau tidak, sudah masuk penjara. Adalah ihsan atau kemanusiaan, kita minta pertimbangkan,”katanya.
Dalam pada itu, beliau menyarankan agar para mahasiswa menjadi pemimpin berwibawa dan tahu mengenai sesuatu kebenaran tanpa mengetepikan soal keadilan dan nilai akhlak.
Ujarnya, segala proses perlu melalui undang-undang termasuk dalam soal Titah adendum terhadap Najib yang tidak boleh diulas secara terbuka kerana akan menimbulkan subjudis memandangkan keputusan kes di Mahkamah Rayuan adalah pada 6 Januari depan.
“Bila saya jawab begitu, dikecam, nak. Tipu dan selindung soal adendum. Ini saya yang katakan berlaku kerana kedangkalan ilmu dan maklumat tidak disampaikan.
“Ini disebabkan budaya kita kadang-kadang budaya picisan. Baca sekerat-sekerat. Amalan membaca dan mencari kebenaran tiada Jadi semua hal akan timbul akan jadi masalah,”katanya. – https://amiminerals.org/