KUALA KANGSAR – Seorang lelaki tidak menyangka perbualan dengan isterinya mengenai rutin ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah waktu pagi menjadi kenangan terakhir mereka berdua.
Ini selepas Sakinah Kamarudin, 37, maut selepas kereta yang dipandunya terlibat nahas dengan kenderaan pelbagai guna pada pukul 7.30 pagi di Jalan Kuala Kangsar-Manong kira-kira lima kilometer dari rumah wanita itu.
Kemalangan itu turut mengorbankan seorang anak pasangan tersebut, Aisyah Qaisara Khairul Rahmat, 9. Seorang lagi anak mereka, Nur Safa’ Rafissah Khairul Rahmat, 10, cedera parah.
“Saya sedang menjaga bapa yang sakit di Hospital Kuala Kangsar. Saya menghubungi isteri pada pukul 7 pagi bertanyakan persiapan mereka ke sekolah dan tempat kerja.
“Tidak lama kemudian, saya dihubungi kerani sekolah yang memaklumkan tentang kemalangan yang berlaku.
“Saya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati isteri dan seorang anak sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar, di sini hari ini.
Sakinah bekerja sebagai Penolong Pegawai Teknologi Maklumat di Pusat Kegiatan Guru Manong, manakala kedua-dua anaknya bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Lempor.
Anak sulungnya yang cedera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk mendapatkan rawatan lanjut kerana cedera di bahagian kepala.
Jenazah dua beranak itu dikebumikan dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ketior Dalam selepas asar. – Iteenews