GOMBAK – “Saya terlalu dahaga… saya cari sungai tapi tak jumpa. Akhirnya saya minum air lopak walaupun berlumpur.”
Itu luahan pengalaman getir Muhammad Danial Zulkepli, 26, seorang jururawat di Institut Jantung Negara yang sesat selama hampir 24 jam ketika mendaki Bukit Lagong, di sini, semalam.
Menurut Muhammad Danial, kejadian bermula apabila dia dan dua rakannya memulakan pendakian seawal pukul 8 pagi dengan perancangan untuk turun sebelum pukul 1 petang bagi kembali bertugas.
Namun, keadaan bertukar cemas selepas dia hilang arah ketika dalam perjalanan turun dari puncak, menyebabkan dia terpisah dan sesat seorang diri dalam hutan.
“Saya sampai ke puncak kira-kira pukul 11 pagi, lepas zuhur saya cuba turun. Tapi sebab terlalu dahaga, saya cari sungai untuk minum… tapi tak jumpa.
“Pukul 3 petang saya nampak lopak air. Walaupun keruh dan berlumpur, saya terpaksa minum. Saya kutip daun buat cawan, tadah air hujan pagi tadi untuk minum,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas ditemui selamat, pagi ini.
Tambahnya, dia juga tidur bersendirian di puncak bukit berkenaan dengan hanya berlindung di bawah struktur bumbung yang hampir roboh.
“Saya jerit minta tolong tapi tiada siapa dengar. Saya hanya fikir nak terus hidup,” katanya yang mengakui ini adalah pengalaman pertama mendaki bukit.
Katanya, insiden ini menjadi pengajaran besar dalam hidupnya dan dia menasihati orang ramai agar bersedia sepenuhnya sebelum mendaki, terutama dari segi bekalan air dan pengetahuan laluan.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika mendaki Bukit Lagong, di sini selamat ditemui kira-kira pukul 6.50 pagi tadi.
Abangnya, Muhammad Ikram Zulkepli, 29, berkata, ketika kejadian adik lelakinya itu pergi mendaki bersama dua rakannya, pagi semalam.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Penyelamat dan Bomba Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian sekitar pukul 6.08 petang. – https://amiminerals.org/